"It's a quote that everyone try to understand..."

Måple´ dan kedai makan 24 jam

Wednesday, July 21, 2010
Maple, mamak, sentil dan pelbagai lagi nama yang sinonim dengan kedai mamak menjadi lokasi pilihan untuk rakyat Malaysia menikmati makanan dan minuman pada masa kini. Menu yang disediakan merangkumi semua waktu makan.Tidak kira dari minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan juga supper sentiasa tersedia sebagai pilihan untuk pelanggan yang datang. Antara sebab kedai mamak mahupun kedai-kedai makan yang terdapat di pekan-pekan besar menjadi pilihan pelanggan ialah faktor operasinya yang kebiasaannya sepanjang 24 jam. Tidak pernah tutup kedai-kedai makan ini semata-mata untuk memenuhi selera dan nafsu orang ramai. Pengusaha kedai lah yang paling untung. Duduk di kaunter mengira bil pelanggan sambil menggoyangkan kaki mengenangkan apa yang nak dibeli bulan depan bila tabung dah penuh.

Arakian lambakan kedai makan yang beroperasi sepanjang malam tumbuh bagai cendawan dewasa ini, maka semakin ramai juga pelanggan yang akan keluar rumah menghabiskan sisa-sisa 24 jam yang tinggal untuk melepak di kedai makan. Ada yang hanya ingin menikmati secawan teh sambil menonton tv (ada yang tengok gusti jugak), ada yang bertemu rakan untuk berbualkan hal apa yang berlaku dalam hari tersebut, ada yang berurusniaga untuk tambah pendapatan dan pelbagai lagi sebab yang membenarkan kaki melangkah keluar rumah pada waktu malam. Tidak kurang juga anak-anak dan remaja yang masih bersekolah turut menghabiskan waktu malam mereka di kedai-kedai makan ini walhal tanggungjawab yang sedang digalas tidak dilaksanakan sepenuhnya lagi.

Mungkinkah juga dengan adanya kedai-kedai makan yang beroperasi sehingga larut malam menjadi penyebab kepada peningkatan masalah sosial yang berlaku di Malaysia kini?

Betul, jika tiada kedai makan sampai lewat malam ni pun masih berlaku kejadian pecah rumah, penagihan dadah, rogol dan pelbagai lagi kejadian jenayah. Tetapi indeks jenayah tersebut semakin meningkat. Jumlah pesalah semakin bertambah. Kes sosial yang baru juga bertambah, seperti masalah merempit yang sehingga kini masih tidak dapat diatasi sepenuhnya. Memang ada mat rempit yang telah ditangkap, didakwa dan dihukum tetapi adakah dengan cara tersebut dapat memberi kesedaran kepada anak muda yang masih merempit di luar agar sedar akan kesalahan yang dilakukan. Mungkin sesiapa yang terang hatinya akan cepat tersedar dengan kesalahan yang dilakukan tetapi jika tertutup hati mereka untuk menerima nasihat dan keinsafan, pelapis baru golongan ini akan tumbuh pula.

Malang sungguh permasalahan yang berlaku ini terjadi kepada golongan muda yang semangat dan kederat mereka sangat diperlukan untuk pembangunan umat. Golongan ini terlupa untuk memikirkan apa yang patut dilakukan pada masa muda ini sebagai bekalan di hari tua mereka nanti.Mereka terlupa hidup ini memerlukan kerja keras dan pengorbanan yang menuntut mereka berusaha untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.

Perkaitan permasalahan ini dengan kedai makan yang beroperasi 24 jam atau sehingga lewat malam ada hubung kaitnya. Mungkin segala perancangan bermula dari satu pertemuan. Dan pertemuan tersebut ada kemungkinan ketika sedang makan atau minum yang sekadar untuk membasahkan tekak.

Cadangan saya agar kedai makan tidak dilanjutkan melebihi jam 12 malam pasti tidak akan disokong oleh sesiapa pun. Malah tindakan ini pasti akan memberi impak yang lebih mendalam apabila pendapatan pengusaha kedai makan ini dihalang. Oleh itu, adalah lebih baik bersama dengan keluarga di waktu malam mengimarah dan mengharmonikan institusi keluarga yang ada.

0 comments:

Post a Comment