"It's a quote that everyone try to understand..."

0 Artikel dari Laman blog Tan Sri Ali Hashim

Friday, September 17, 2010

MINDA BISTARI #55 - KEMBALI KEPADA KEKUATAN FITRAH

Posted On September 17, 2010
(Artikel ini diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 16 September 2010)
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin! Setelah menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan al mubarak, kini Syawal menjelma dan umat Islam seluruh dunia merayakan kemenangan dan kembalinya kita semua kepada fitrah hidup seperti biasa. Pengajaran daripada menahan hawa nafsu sambil beribadah kepada Allah SWT, beramal dan bersedakah diikuti dengan berzakat fitrah telah mendekatkan kita semua kepada kesedaran mencari pengertian sebenar hidup ini.
Ramadan sesungguhnya mengingatkan kita bahawa tiada kemenangan dan kejayaan sempurna tanpa pengorbanan dan kesabaran. Demikian juga dalam perjalanan membina kejayaan bangsa, agama dan negara.  Di bidang ekonomi, khasnya dalam usaha membina kejayaan bisnes, pengorbanan dan kesabaran juga sangat diperlukan. 
Bagi peniaga, usahawan dan ahli bisnes. Mereka perlu memiliki daya kesabaran dan pengorbanan yang tinggi sebelum boleh berjaya. Melabur dalam sesuatu bisnes itu sendiri menuntut pengorbanan sumber modal, tenaga dan usia untuk manfaat lebih besar pada jangka panjang. Wang yang digunakan sebagai modal, misalnya, tidak diguna atau dibelanja mengikut selera untuk manfaat segera. Malah, seseorang pelabur dengan penuh sabar sengaja mengenepikan keinginan berbelanja hari ini untuk meraih pendapatan dan pulangan yang lebih besar hari esok.
Saya percaya ramai Melayu tidak berjaya dalam bisnes bukan sahaja kerana ketiadaan modal dalam bentuk wang tetapi kerana tiadanya kesanggupan berkorban masa dan usia untuk membina modal insan atau modal diri. Ramai yang tidak sanggup mengorbankan minat bersantai, keinginan berseronok dan berhibur serta kegemaran bersembang kosong. Sikap dan tabiat seperti ini tidak membina modal diri dan jelas anti-bisnes.
Dalam beberapa rencana lalu saya telah menegaskan betapa Melayu-Muslim perlu mengikis sikap anti-bisnes dan berusaha untuk mengubah minda, fahaman dan persepsi terhadap bisnes. Langkah pertama ialah menanam kesanggupan tinggi berkorban dan bersabar sambil menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman bisnes. Ia perlu dilaksanakan andainya kita ingin melihat perubahan dalam pencapaian dan kedudukan Melayu-Muslim serta mengelak daripada terus ketinggalan dalam persaingan kehidupan yang semakin mencabar.
Dalam konteks bisnes hari ini, bangsa yang lebih maju ke depan adalah bangsa yang sanggup mengutamakan kepentingan jangka panjang, mengorbankan kemahuan dan kehendak hati semasa, untuk manfaat kemudian hari. Demikian juga, mereka yang berjaya adalah yang tinggi daya kesabaran yang dilengkapkan dengan minda dan pandangan hidup yang lebih mengutamakan kepentingan generasi mendatang. 
Justeru, mereka lebih gemar melihat kejayan bisnes dalam konteks organisasi, dan bangsa serta negara paling maju ke depan adalah yang paling teguh dan perkasa organisasi bisnes mereka. Dalam kata lain, mereka juga telah melabur tenaga, usia, modal insan dan modal wang untuk membina organisasi besar-besaran menjangkau masa beratus tahun lamanya. Hasilnya hari ini negara maju menguasai banyak syarikat gergasi multinasional (MNC) yang mendominasi ekonomi global.
Di Malaysia, Melayu-Muslim yang menjadi majoriti penduduk negara ini dilihat masih lagi jauh ketinggalan. Sebahagian besar daripada kita masih memilih jalan mudah dan selesa, memilih kerjaya selamat (misalnya cuma mengharapkan pencen kerajaan) serta tidak sanggup berkorban jiwa raga memburu rezeki yang lebih mewah dengan mengambil risiko besar.  Justeru, majoriti mengenepikan bisnes dan yang berbisnes pula ramai yang leka dan mudah berpuas hati dengan pencapaian ala kadar.
Beberapa persoalan seringkali bermain di kotak minda kita. Antaranya, bangsa dan negara lain telah pun lama maju, adakah setelah jauh ketinggalan, Melayu-Muslim masih boleh menang dalam perlumbaan ini? Tidakkah kita telah pun terlewat dalam persaingan ini dan apakah yang dapat memberikan kita kekuatan serta semangat meneruskan perjuangan?
Tentu kita masih ingat cerita perlumbaan antara arnab dan kura-kura yang pernah kita baca ketika di bangku sekolah. Kesudahan cerita tersebut telah dijadikan pengajaran dan pedoman untuk kita semua agar tidak bongkak, takbur dan memperkecilkan keupayaan pihak lawan. Tidak kurang penting ialah agar kita tidak lalai dan selesa dengan pencapaian yang dimiliki sehingga tewas kemudian hari.
Ketika di garis mula, arnab melihat kura-kura bukanlah pesaingnya. Lihat saja bentuk fizikal dan sifat kura-kura. Lemah, terlalu perlahan dan mustahil untuk menewaskan arnab. Sementara arnab tahu akan kemampuannya yang tangkas berlari, merasakan dirinya bijak dan pantas maju ke depan. 
Setelah perlumbaan bermula, kura-kura mengatur langkah perlahan sementara arnab meluuru meninggalkan kura-kura jauh di belakang. Di pertengahan jalan, arnab yang selesa dengan kedudukannya, berhenti berlari, langsung tertidur nyenyak. Sementara itu, kura-kura meneruskan perjalanannya dengan sabar dan tabah biarpun dalam keadaan perlahan hingga akhirnya menang menewaskan arnab.
Dalam konteks persaingan bisnes hari ini, cerita ini sebenarnya membawa mesej yang lebih besar. Kura-kura, iaitu makhluk asli di nusantara boleh diibaratkan seperti Melayu-Muslim yang keciciran. Sementara arnab pula makhluk asing dan pendatang dari Barat yang berada jauh di depan.

Persoalannya, adakah kita sebagai ‘kura-kura’ kini berlumba dengan ‘arnab’ yang serupa?  Siapa sebenarnya yang mudah selesa, cepat berpuas hati dan lebih kuat tidur?  Kita atau pun mereka?  Persoalan lebih besar dan penting: Adakah kita masih boleh menang perlumbaan ini andainya ‘arnab’ tidak mudah selesa dan tidak tertidur (seperti bangsa lain yang lebih gigih, hebat dan gagah berusaha? Pasti ramai yang menjawab mustahil untuk kita menang biarpun pelbagai helah dan cara dibuat.
Apapun saya yakin kita boleh menang juga akhirnya insya Allah. Namun ia memerlukan pendekatan dan persepsi minda kita yang berbeza. Kura-kura boleh menang dalam persaingan ini jika ia sedar kelebihan asasi yang ada pada dirinya dan menggunakan kelebihan fitrahnya sebagai strategi persaingan. Tegasnya, kita perlu menukar strategi. Bagaimana?
Renungkan fakta ini: Secara purata, jangka hayat arnab hanyalah sekitar 10 hingga 15 tahun. Bagaimana dengan jangka hayat kura-kura? Menurut kajian, jangka hayat kura-kura jauh lebih panjang hingga  menjangkau 150 tahun. Malah dikatakan terdapat kura-kura yang mampu hidup sehingga lebih 200 tahun!
Pengajarannya, andainya kita lemah secara individu, kita perlu sepakat membina institusi yang berdaya tahan lama. Inilah strategi kemenangan, iaitu memanfaatkan longevity atau memanjangkan upaya kelangsungan sesuatu usaha, umpama panjangnya hayat kura-kura.
Justeru, mesti ada kesanggupan tinggi Melayu untuk berkorban kepentingan jangka pendek untuk manfaat jangka panjang yang lebih bermanfaat. Juga, tidak ada kejayaan tanpa kesabaran, iaitu selangkah demi selangkah membina keupayan selain menghimpun kekuatan daripada pencapaian sebelumnya, generasi demi generasi. Untuk itu kita perlu meletakkan urusan bisnes strategik kita pada organisasi, dan bukan kepada peribadi, supaya jangka hayatnya insya Allah akan bertahan lebih lama.
Lihat bagaimana syarikat multinasional (MNC) Jepun seperti Matsushita, Toyota, Mitsubishi dan Honda. Ada yang berusia ratusan tahun. Kepentingan majoriti dalam syarikat MNC Jepun umumnya tidak didominasi oleh individu atau keluarga, kerana ia rapuh dan mudah musnah apabila berlaku kematian usahawan terbabit.  Sebaliknya, ketahanan dan kelangsungan usaha dapat dikekalkan berkesinambungan apabila didokong oleh organisasi dan setelah hakmiliknya diinstitusikan. Waris keturunan pengasas Toyota, iaitu keluarga Toyoda, misalnya, kini hanya memiliki 2 peratus saham dalam syarikat terbabit.
Mesejnya jelas. Sekaya mana pun seorang jutawan, akhirnya akan mati juga. Usia kita sendiri pun paling lama boleh bertahan hanyalah sehingga 80 atau 90 tahun. Inilah kelemahan yang paling ketara andainya harta atau bisnes strategik terlalu bersandar kepada peribadi. Setelah mati, harta akan menjadi ‘sekangkang kera’ setelah mengecil sama ada melalui pembahagian pusaka atau akibat perebutan harta di kalangan waris.
Kesimpulannya, strategi paling ampuh untuk Melayu-Muslim menang bersaing perlu didasarkan kepada kekuatan fitrah diri yang ada pada kita, iaitu rangka pemikiran kita, nilai dan pegangan hidup kita, minda dan jiwa kita sebagai Muslim, serta corak masyarakat kita sebagai umat berjemaah. Dalam kata lain, strategi berkesan untuk Melayu menang bersaing mesti serasi dan selari sepenuhnya dengan fitrah diri dan masyarakat.  Kita tidak boleh menang selagi terdapat konflik daripada perspektif ini. 
Dalam hal ini strategi longevity kura-kura sangat tepat dan relevan. Kesanggupan berkorban kepentingan jangka pendek, dilengkapi dengan daya kesabaran boleh menjamin kelangsungan dan kesinambungan usaha.  Sebenarnya semua ini telah pun sedia diperuntukkan oleh Islam, iaitu menerusi institusi wakaf.  Sesungguhnya wakaf satu institusi fitrah dan definitif Islam kurniaan Allah SWT.
Justeru, panjangnya hayat kura-kura adalah umpama kekal dan kebalnya aset dan bisnes strategik yang diwakaf. Bisnes dan ekuiti boleh diwakafkan, seperti yang telah dilakukan oleh Johor Corporation menerusi Waqaf Korporat dan penubuhan Waqaf An-Nur Corporation Berhad.  Selagi diurus dengan baik, cekap dan berdaya saing, wakaf korporat memberi Melayu-Muslim keupayaan melangsungkan usia dan hayat bisnes mereka sehingga menjadi MNC Wakaf satu hari nanti untuk membawa manfaat berpanjangan kepada seluruh umat sampai kiamat, insya Allah!
Muhammad Ali Hashim
15 September, 2010